04 Ogos 2009

Mengenai Tapai

Tapai merupakan produk makanan pemeraman yang popular di Asia khususnya di Asia Tenggara. Biasanya, pulut (jenis putih/hitam) atau ubi kayu digunakan. Mikroorganisma yang dijumpai dalam ragi tapai tradisional ialah moulds (Rhizopus oryzae, Amylomyces rouxii atau Mucor sp.) dan yeasts (Saccharomyces cerevisiae, Saccharomycopsis fibuliger, Endomycopsis burtonii). Tapai yang mempunyai rasa yang enak dimakan sebagai snek atau pencuci mulut.

Nama tempatan bagi tapai adalah seperti berikut (Saono et al., 1986; Hesseltine & Wang 1986; Steinkraus, 1996); tapai pulut (Malaysia), tapai nasi (Indonesia, Malaysia, Singapura), basi binubran daripada nasi (Filipina), chao daripada nasi (Cambodia), lao-chao, chiuniang daripada nasi (China), khao-mak daripada nasi (Thailand), tapai ketela daripada ubi kayu (Indonesia), peuyeum daripada ubi kayu (Jawa Timur, Indonesia), dan tapai ubi daripada ubi kayu (Malaysia).

Bahan-bahan untuk membuat tapai tidak terlalu rumit cuma memerlukan ragi sahaja. Proses penyediaan tapai serta pemilihan ragi yang baik adalah penting kerana ia akan menentukan rasa tapai. Ubi dan pulut yang telah dimasak dan digaulkan ragi, kemudiannya dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun. Ada yang menggunakan daun getah, daun pisang, daun jambu, daun ketapang, dan sebagainya. Tetapi untuk tujuan penyimpanan, bekas plastik adalah lebih mudah digunakan kerana selain mudah disimpan dalam peti sejuk, ia juga tahan lebih lama.

Setelah siap dibungkus, semua bungkusan berkenaan dimasukkan ke dalam bekas kedap udara. Setelah disimpan selama 2 hari, tapai itu akan masak dan sedia untuk dimakan. Tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional khususnya di kalangan masyarakat Cina.

Tapai biasanya sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut dan dihidangkan selepas ia disimpan dalam peti sejuk untuk seketika. Sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan, tapai boleh dicampurkan dengan pelbagai jenis pencuci mulut lain seperti ABC, cendol, aiskrim, santan, agar-agar dan sebagainya mengikut citarasa dan kreativiti masing-masing.

2 ulasan:

  1. Asalammualaikum anda memerlukan ragi? Sila emailkan di lilin_75@yahoo.com.my

    BalasPadam
  2. Salam, nak tanya mengenai Tapai Ubi .. sekiranya tapai ubi diperam hanya 12 jam , dapat dimakan ka?

    BalasPadam