12 Ogos 2009

Kedai Makan Punya...

Arini aku buat tapai pulut daun je. Memandangkan aku xniaga masa weekday, so aku buat utk hantar kedai makan jelah. Dah siap buat, nak susun bekas pulak xcukup. Bekas yg ada tu, dh penuh dgn tapai yg aku buat semalam. Jadi, ibu mertuaku kata, masuk je dalam besen then tutup dgn kain.
Memandangkan aku ni menantu yg taat dan baik (hopefully), maka aku pun susunlah dalam besen. Tengok tu. Pandaikan aku susun? Berpusing-pusing dalam besen tu. Ini skill yg xsemua org pandai tau. Hehe. Susun elok-elok bukan apa, ni rahsia spya tapai xpenyek. Tapi kalau dah berat bhgian atas tu, penyeklah juga yg kat bwh.

11 Ogos 2009

Tempahan utk Pot Luck

Ni tapai yg mak sedare aku order mggu lps utk pot luck kat ofis dia, LHDN. Kejap je aku buat coz dia nk 50 biji je. Lagipun buat dalam cup ni senang keje. Kalau dalam daun tu lecehlah ckit.






Dh packing tu, aku pun tampallah sticker Tapai Waris. Manalah tahu, ada rezeki kot-kot orang nk order, Alhamdulillah masyuuuukk....:)


06 Ogos 2009

Cara-cara Membuat Tapai Pulut


Hari ini aku akan tunjukkan langkah-langkah aku membuat tapai. Tentang pantang larang, jaga kebersihan diri, bahan mentah, peralatan yang digunakan serta persekitaran. Selain kebersihan fizikal, dalaman pun elok juga dijaga. Sama-samalah kita elakkan penyakit/wabak busuk hati, iri hati atau apa saja yang memudaratkan hati :) Ada satu rahsia aku dalam membuat tapai. Kemudianlah bgtau ya.

Mula-mula, aku basuh beras pulut hingga bersih. Kemudian, rendam dalam 2-3 jam. Lepas itu, aku bilas beras dan toskan.




Seterusnya, aku panaskan air hingga mendidih dan kukus beras. Lepas itu, aku masukkannya dalam bekas dan siram dengan air biasa. Aku gaul hingga rata dengan senduk kayu dan biarkan sebentar supaya beras tadi dapat menyerap air yang disiram. Kemudian, aku kukus lagi sekali hingga masak.



Lepas itu, aku sejukkan tapai pada suhu bilik. Kemudian aku tabur ragi dan gaul rata. Aku bungkus tapai dalam daun pisang yang telah dilap dengan kain bersih dan simpan dalam bekas kedap udara pada suhu bilik. Kalau buat malam ini, lusa pagi dalam jam 10 tu sedang eloklah untuk aku jual. Nak sedap lagi, jangan makan dulu. Masuk dalam peti ais. Dah sejuk baru makan. Makan dengan ais krim vanila Nestle lepas makan tengah hari. Sedap wooooo....




Hampir lupa pula mengenai rahsia yang aku katakan di awal bicara tadi. Rahsianya ialah cuba dapatkan bahan mentah yang baik. Iaitu ragi tapai dan pulut/ubi yang baik. Pulut dan ragi tu, bolehlah juga dicari yang baik, tapi ubi ni payahla. Dah dapat ubi yang baik pun, kadang-kadang tak berapa menjadi, khususnya ubi kuning. Apepun, jangan lupa mulakan kerja dengan Bismillah dan berdoa selalu :) Rezeki Allah tentukan...(mcm pernah ku dengar ayat ini..tapi di mana ya??) Tetapi setelah kita berusaha bersungguh-sungguhlah ya.

05 Ogos 2009

Selepas Lebih Setahun Berlalu...


Beginilah rupa gerai Tapai Waris selepas mempunyai pelanggan tetap yang setia... Alhamdulillah, sememangnya 9/10 punca rezeki itu datangnya daripada perniagaan. Walaubagaimanapun, perjalanannya bukanlah mudah. Pengalaman ditipu dengan kerugian mencecah RM600 merupakan tragedi yang tidak dapat dilupakan kerana sewaktu kesempitan wang, RM10 pun amat bernilai.

Itu belum masuk tapai yang tak menjadi sebab ada ubi yang tak elok. Yalah, masa beli nampak kulit sama saja. Apabila sudah kupas kulitnya barulah tahu elok atau tidak. Beberapa kali juga terbuang berbesen-besen tapai. Kalau berniaga di tepi jalan seperti saya, risiko hujan tidak dapat dielakkan. Lebih-lebih lagi kalau angin bertiup kencang, lebih kencang denyutan jantung saya kerana bimbang petir menyambar. Pernah sekali payung ditiup angin dan tidak sempat diselamatkan. Maka rosaklah payung yang dipakai baru beberapa bulan itu. Dapat untung sedikit, belilah payung baru. Selang beberapa hari, dicuri orang pula... Apa nak buat...belilah lagi. Tapi kali ini yang lebih besar, lebih kukuh dan semestinya lebih mahal :)

Jadi, apa pun terjadi bersabar saja ubatnya. Perkara yang sangat memerlukan kesabaran yang tinggi (setinggi awan mungkin) ialah kerenah pelanggan. Waaaaaaaahhhh, ini memang mencabar! Peniaga jalanan pun ada cabaran macam-macam apatah lagi tokei besar kan? Dengan penuh penghayatan dan gambaran yang jelas dalam minda, saya ingin mengajak anda mengikuti pengalaman saya yang pelik tetapi benar ini...

3



2



1

...


Erm, saya cerita dalam post yang lain saja lah. Buat topik baru lah ya. Tungguuuuuu......

04 Ogos 2009

Al-kisah...


Waris Food Industries (001849995-M) didaftarkan dengan SSM pada 31 Mac 2009. Perniagaan kecil-kecilan ini mengkhusus kepada pembuatan tapai ubi dan pulut. Diusahakan oleh Din, anak muda kelahiran Pasir Puteh, Kelantan yang datang daripada keluarga pengusaha tapai sejak bertahun dahulu. Sebab itulah tagline Tapai Waris adalah "Resepi Warisan Turun Temurun".


Walaupun baru didaftarkan, ia sebenarnya telah bertapak sejak Januari 2008 di mana lokasi penjualan bersejarah itu adalah di tepi jalan berhadapan surau Hospital Kajang. Bermula dengan keuntungan hari pertama RM8.00, Tapai Waris kini telah mula dikenali ramai khususnya di Kajang melalui mouth-to-mouth marketing.

Perkara utama yang menjadikan Tapai Waris bertahan hingga hari ini ialah komunikasi pelanggan di mana semua pelanggan dianggap dan dilayan sebagai teman. Ucapan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pelanggan yang menyokong Tapai Waris selama ini. Sokongan padu yang sedemikian dapat membantu usaha kerajaan dalam melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berjaya khususnya di kalangan golongan muda.

Mai Order Tapai




Tapai WARIS samada tapai pulut mahupun tapai ubi adalah dibungkus dengan daun pisang. Harga yang ditawarkan berbeza mengikut berat. Pendek kata customize ikut kehendak pelanggan. Walaubagaimanapun, buat masa ini pembungkusan dalam daun terhad sekitar 1000 biji untuk satu-satu masa tertentu.



Sekiranya anda mahukan sesuatu yang lebih ringkas, presentable dan mudah disajikan, maka pembungkusan dalam bekas plastik adalah pilihannya. Jangan bimbang mengenai elemen daun pisang yang dikatakan memberi aroma yang enak kerana ia turut dijadikan pelapik di dalam bekas tersebut.
Selain itu, Tapai WARIS juga boleh didapati dalam bentuk kilo. Bagi sesiapa yang ada masa dan rajin nak packing sendiri bolehlah beli tapai kilo. Jimat sedikit.

Bagi yang ingin membeli Tapai WARIS, khususnya sesiapa yang tinggal sekitar Kajang, anda boleh mendapatkannya di gerai Tapai Waris pada hari Sabtu dan Ahad sekitar jam 10 pagi ke 5 petang. Gerai ini terletak di Jalan Sg Kantan, Kajang. Iaitu berdekatan lampu isyarat Taman Jenaris.

Agak terhad untuk mendapatkannya? Jangan risau... ia juga boleh didapati di Medan Selera PEMADAM yang bersebelahan dengan Masjid Jamek Kajang atau Court Mammoth iaitu di gerai Intifadha. Selain itu, ia juga boleh didapati di restoran Kulaifornia, Prima Saujana Kajang dan restoran Selera Pantai Timur, Taman Kantan Permai Kajang.

Bagi sesiapa yang ingin membuat tempahan, bolehlah menghubungi Din Tapai di talian 012-2470308. Servis penghantaran pun ada. Bukan MCD je ada delivery. Pastikan kalau nak tempah awal-awal, mestilah paling kurang pun seawal 3 hari atau lebih. Kalau kurang daripada 3 hari, terpaksalah beli apa yang ada saja. Itupun kalau ada. Bukan apa, kalau buat banyak-banyak sesuka hati nanti tak habis membazir pulak. Eh, sebenarnya tak lah membazir sangat. Kalau tak habis tu sedekah je kat surau. Lepas solat isyak bolehlah jemaah basahkan tekak dengan manisan. Kenyang orang makan, pahala pun dapat :)

Mengenai Tapai

Tapai merupakan produk makanan pemeraman yang popular di Asia khususnya di Asia Tenggara. Biasanya, pulut (jenis putih/hitam) atau ubi kayu digunakan. Mikroorganisma yang dijumpai dalam ragi tapai tradisional ialah moulds (Rhizopus oryzae, Amylomyces rouxii atau Mucor sp.) dan yeasts (Saccharomyces cerevisiae, Saccharomycopsis fibuliger, Endomycopsis burtonii). Tapai yang mempunyai rasa yang enak dimakan sebagai snek atau pencuci mulut.

Nama tempatan bagi tapai adalah seperti berikut (Saono et al., 1986; Hesseltine & Wang 1986; Steinkraus, 1996); tapai pulut (Malaysia), tapai nasi (Indonesia, Malaysia, Singapura), basi binubran daripada nasi (Filipina), chao daripada nasi (Cambodia), lao-chao, chiuniang daripada nasi (China), khao-mak daripada nasi (Thailand), tapai ketela daripada ubi kayu (Indonesia), peuyeum daripada ubi kayu (Jawa Timur, Indonesia), dan tapai ubi daripada ubi kayu (Malaysia).

Bahan-bahan untuk membuat tapai tidak terlalu rumit cuma memerlukan ragi sahaja. Proses penyediaan tapai serta pemilihan ragi yang baik adalah penting kerana ia akan menentukan rasa tapai. Ubi dan pulut yang telah dimasak dan digaulkan ragi, kemudiannya dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun. Ada yang menggunakan daun getah, daun pisang, daun jambu, daun ketapang, dan sebagainya. Tetapi untuk tujuan penyimpanan, bekas plastik adalah lebih mudah digunakan kerana selain mudah disimpan dalam peti sejuk, ia juga tahan lebih lama.

Setelah siap dibungkus, semua bungkusan berkenaan dimasukkan ke dalam bekas kedap udara. Setelah disimpan selama 2 hari, tapai itu akan masak dan sedia untuk dimakan. Tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional khususnya di kalangan masyarakat Cina.

Tapai biasanya sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut dan dihidangkan selepas ia disimpan dalam peti sejuk untuk seketika. Sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan, tapai boleh dicampurkan dengan pelbagai jenis pencuci mulut lain seperti ABC, cendol, aiskrim, santan, agar-agar dan sebagainya mengikut citarasa dan kreativiti masing-masing.